Union Jack — bendera kebangsaan British — dinaikkan di sebuah pulau kecil di bumi Kedah, yang kemudiannya dikenali sebagai ‘pulau mutiara’ empayar Inggeris di Timur.

Lukisan di atas oleh Kapten Elisha Trapaud berjudul ‘Pemandangan di North Point & upacara pengKristianan Prince of Wales Island, 1786′.
Pulau Pinang diberi gelaran ‘Prince of Wales Island’ pada 11 Ogos 1786 bersempena dengan sambutan hari kelahiran putera mahkota Inggeris di zaman yang disebut ramai sebagai Britannia Rules the Seas. Pada tarikh yang sama juga, pulau itu telah diserah hak kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris oleh raja Kedah, Sultan Muhammad Jiwa.
George Town, nama yang mengimbas kepada George III Raja England masa itu, adalah satu-satu ibukota (antara kalangan 14 negeri di persekutuan Malaysia) yang tetap berpaut kepada panggilan orang putihnya.
Mengikut catatan ‘History of Penang’ yang terkandung di portal Visit Penang, Pulau Pinang diasaskan oleh Kapten Francis Light. Fakta ini sebenarnya harus dipertikaikan. Adakah beliau seorang pengasas ataupun lebih mirip kepada seorang perampas, penipu dan lanun*?
Rencana ‘History of Penang‘ yang dimuat-turun ke laman Visit Penang menyatakan, “The first settlement in Penang was at the present Esplanade area” — daerah di mana rombongan peninjau Inggeris mula-mula mendarat.
[Nota sampingan: Laman sesawang Visit Penang ditulis sepenuhnya dalam bahasa Inggeris meskipun ianya berpengkalan di alamat domain ‘.gov.my’.
Jauh dari sangkaan kita bahawa sebuah agensi kerajaan (yang mengendali laman Visit Penang) boleh begitu taksub dengan bahasa asing sehinggakan bahasa kebangsaan sanggup dipinggirkan. Kecenderongan mereka ini mengundang persoalan setakat manakah Pulau Pinang masih berkiblatkan kota London.]
Seterusnya, apakah betul cerita yang cukup gemar dijajakan oleh puak British mengatakan bahawa Pulau Pinang hanya didiami segelintir penduduk pribumi sebelum ia dijelajahi para peneroka Mat Salleh?
Malah rencana ‘History of Penang’ (yang diterbitkan bulan September 2008) masih tidak segan untuk mendakwa: “When Light first took over the island, there were less than 1,000 Malay fishermen living on the island.” (Tidak lebih daripada 1,000 orang nelayan Melayu penghuni pulau itu ketika ia diserahkan kepada Francis Light.)
Namun Norman MaCalister, seorang Leftenan-Gabenor Prince of Wales Island (1808-1810) dalam laporannya ada menyebut bahawa sudahpun wujud penempatan-penempatan awal Melayu di Pulau Pinang mandahului waktu beliau menyinggah di situ, iaitu sekitar tahun 1800-an.
Peta yang dilakar oleh Kapten Walter Alves pada tahun 1763 pula menunjukkan sebuah bandar yang sedia bertapak di suatu kawasan bersempadankan Datuk Keramat dan Batu Uban.
Mengikut sejarah, penjajah British telah menandatangani tiga buah perjanjian dengan Kedah untuk melindungi kepentingan politik dan peniagaan mereka di rantau ini.
Perjanjian-perjanjian tersebut membawa kepada:
- 1786: Pengasasan Prince of Wales Island
- 1791: Treaty of Peace, Friendship and Alliance (Perjanjian Aman, Persahabatan dan Perserikatan)
- 1800: Perolehan wilayah Province Wellesley, yang dibeli daripada tanah besar Kedah
Mengikut perjanjian tahun 1791 juga, bayaran pampasan sebanyak 6,000 dolar Sepanyol akan diberikan setiap tahun kepada Sultan Kedah oleh pihak British. Seperkara lagi yang mungkin tidak diketahui umum, yakni, kerajaan negeri Pulau Pinang masih setia membayar ‘ufti’ tahunan bernilai RM18,800 kepada Kedah.
Lantaran itu, apakah agaknya status hubungan Pulau Pinang dengan Kedah dari segi undang-undang?
Mengimbas kembali sejarah tanahair, gabungan negeri-negeri Selat (Straits Settlements) telah ditubuhkan pada tahun 1832.
Pulau Pinang, Melaka serta Singapura diletakkan serentak di bawah pentadbiran Pejabat British India. Pada tahun 1839, Pulau Pinanglah yang paling pesat berkembang; masyarakat majmuk Pulau Pinang dan Province Wellesley sekaligus mencecah 86,009 orang, berbanding dengan 37,706 berada di Melaka dan 29,984 orang di Singapura.
Pada tahun 1867, ketiga-tiga negeri Straits Settlements ini diserahkan Syarikat Hindia Timur Inggeris kepada pemerintah kolonial British (Colonial Office).
Pulau Pinang kekal sampai tahun 1935 sebagai pusat perdagangan dan kegiatan ekonomi kolonialisme. Peranannya kemudian diambil alih oleh Singapura.
Untuk sekian lama Pulau Pinang merupakan negeri di mana peratusan etnik Melayu dan penganut Islam adalah terendah sekali di semenanjung. Akan tetapi perangkaan terbaru susulan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 menampakkan perubahan di mana makin ramai Melayu daripada kaum Tionghua yang bermastautin di Pulau Pinang dewasa ini.
Daripada jumlah penduduk Pulau Pinang yang dianggarkan 1.6 juta, sebanyak 41.6 peratus (670,100 orang) disahkan golongan Melayu manakala nisbah masyarakat Cina telah menyusut kepada hanya 40.9 peratus (658,700 orang) sahaja.
PERBINCANGAN SETERUSNYA: Apakah implikasi ekoran daripada pola demografi ini?
________________
KEMASKINI (Ogos 4):
Kaum Cina kembali menjadi majoriti di Pulau Pinang mengikut perincian terbaru yang keluarkan Jabatan Statistik. Cina kini seramai 670,400 orang (42.9 peratus) berbanding Melayu 639,136 (40.7 peratus) berdasarkan banci yang dijalankan pada tahun lepas. — The Star
Banci taburan penduduk di seluruh negara hanya diadakan setiap 10 tahun sekali. Maka dengan itu perangkaan untuk tahun-tahun perantaraan merupakan unjuran sahaja.
________________
Akan bersambung …
BUTIRAN TRIVIA
(Gambar oleh Adie Ishmael)
*Lanun: Salah seorang anak lelaki Kapten Light diberikan nama Francis Lanoon Light. ‘Lanoon’ yang dipinjam daripada perkataan Melayu ‘lanun’ membayangkan Si Bapa itu (yang tahu sedar diripun) boleh dikira sebagai seorang ada sense of humour.
“Lanoon”, wah satu fakta baru. Kelakar juga Francis Light ni:)
..sepatutnya…, Francis Lanun Light… Tak perlu jenaka, memang mereka berketurunan lanun pun…!
cikgu wa ckp francis lampu lanun..-..-…hahahaha klakar tol cikgu aq ahahahahahahhaha bukan mengutuk sejarah dh memey fakta ponnn hahahah!!!!!!!!!
Lanoon refers to the pirates hired by the Kedah Sultan and his Bendahara, numbering 20 boats who gathered at the Prai River. Light’s men were outnumbered 5 to 1. Light were so proud of the victory that he named his son Lanoon. Probably a bad idea, but any time you beat anyone, outnumbered by 5 to 1, its a great achievement.
Dato Keramat was once a burial ground, measuring 13 oblongs,and was cleared in 1795 by Maharaja Setia, a relation by descent of Dato Keramat who first cleared the land some 90 years ago. (Royal Asiatic Society August 1885, Memoir of Captain Light pg 3).
By this i believe there were people living there, people clearing out land to have a sort of habitat. but perhaps not permanently, and certainly not a settlement.