Mengikut pengamatan Zaid Ibrahim, mantan Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri (portfolio undang-undang), kewujudan ISA sebelum ini tidak pun berjaya mencegah berlakunya rusuhan kaum Mei 1969.
Beliau berkata dalam blognya “different times need different laws” (undang-undang hendaklah bersesuaian dengan zaman) lantaran itu pemansuhan ISA adalah kini bertepatan masanya.
Pada pendapat Zaid, hubungan yang baik antara kaum mampu dipupuk tanpa kita ditakut-takutkan dengan ISA tetapi perlu ada faktor-faktor membina selain sebuah undang-undang tahan tanpa bicara.
Tambah beliau, Umno dan unit penerangan kerajaan akan terpaksa dengan segera bertungkus-lumus menjelaskan kepada khalayak umum kenapa selepas 40 tahun Barisan Nasional kerap mengatakan ISA itu amat perlu, sekarang pula sanggup mengalah dan membenarkan ia dikesampingkan.

Justeru itu, Zaid mencadangkan supaya ditubuhkan serentak sebuah kementerian baru, yakni Kementerian Keadilan. Katanya lagi, ada baik juga kita meminjam amalan British di mana Peguam Negaranya bertaraf menteri. Sebagai seorang menteri, Peguam Negara akan terpaksa untuk memberi penjelasan kepada Parlimen atas keputusan-keputusan rumit yang diambilnya.
Zaid juga berkata jika diadakan pertemuan setiap minggu oleh Peguam Negara, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Keadilan – sepertimana ia dilaksanakan di UK – akan boleh meningkat taraf usaha ko-ordinasi di antara ketiga-tiga kementerian dalam membincangkan perkara-perkara yang bertindih bidang kekuasaan mereka.
Tidak pahit kerana pengalaman
Yang peliknya, tahanan-tahanan ISA yang saya kenali seperti P. Uthayakumar dan Chong Ton Sin sebenarnya manusia yang berjiwa besar.
Uthaya seorang pejuang hak asasi (baca sini) manakala Pak Chong yang ditahan selama lapan tahun pada dekad 1970-an ialah seorang aktivis berhaluan kiri.
Pernah sekali saya bertanyakan Pak Chong tentang pengalamannya di bawah ISA.
Berseloroh ketika menjawab, Pak Chong berkata oleh kerana beliau berasal dari keluarga miskin, maka merasakan santapan samasa dalam tahanan adalah lebih menyelerakan berbanding apa yang dimakannya sewaktu bebas di luar sebelum itu.
Seorang lagi kenalan saya yang merupakan bekas tahanan ISA ialah Lee Ban Chen, juga dulu kolumnis Malaysiakini. Beliau sudah menulis lima buah buku (kompilasi kolum-kolumnya) dalam Bahasa Melayu walaupun beliau pernah menjadi pengarang Sin Chew Jit Poh.
Ban Chen ditahan 1967-1974 di bawah ISA kerana terlibat dalam pemogokan Ladang Bukit Asahan dan Ladang Triang.
Manakala tahanan ISA yang saya ada membeli beberapa naskah buku ilmiah karya mereka ialah Dr Syed Husin Ali dan Dr Kua Kia Soong, kedua-duanya cendekiawan yang dihormati serta tokoh di persada persuratan tanah air.
Nampaknya ISA di Malaysia digunakan untuk menangkap bukan kebanyakannya komunis, penghasut atau pencetus keganasan tetapi individu-individu cenderong kepada sosialisme yang berwibawa.
buku buku yg di hasil kan oleh individu cenderong kepada sosialisme yg berwibawa boleh juga mencetuskan ketegangan yg bukan sahaja berwibawa tetapi boleh membawa kepada keadaan yang celaka serta huru hara.
bagaimana kah utk mengawal kaeadaan ini. suara yg membawa kebebasan dan keamanan juga boleh membawa ketakutan dan kemudaratan.
siapakah anda atau saya utk menjawab persoalan ini.
mungkin bermesyuarah dan berbincang. tapi dlm keadaan dahulu hingga sekarang,
adakah ada perbincangan dan jika ada apakah hasilnya.
ISA hanya utk kepentingan politik samada pencadang atau pembangkang.