Posted in Uncategorized

Adakah KITA sedang mendekati Umno?

Baru-baru ini timbul desas-desus yang Zaid Ibrahim akan membawa partinya KITA masuk ke pangkuan Barisan Nasional tidak lama lagi. Telahan bahawa Zaid akan merujuk dengan Umno diuar-uarkan ekoran ‘mohon maaf’nya kepada Perdana Menteri Najib Razak minggu lepas.

Zaid dipetik Bernama sebagai berkata:

“Saya dahulu tidak yakin Najib mempunyai keberanian untuk membuat sesuatu yang besar dan hari ini saya minta maaf pada Perdana Menteri kerana akhirnya sanggup berbuat sesuatu yang bermakna dan besar untuk memansuhkan ISA ini.”

Kenyataan tersebut membuat Zaid diragui sesetengah orang sebagai membodek Najib.

Namun mungkin Zaid dengan hati tulus merasakan langkah perdana menteri hendak menghapuskan ISA dalam masa terdekat adalah berani dan benar. Maka pohon maafnya adalah bersifat ‘gentleman’ kerana ramalannya yang meleset pada suatu ketika dulu.

Mungkin juga pada pandangan Zaid, reaksi pemimpin pembangkang yang begitu lantas memperlekehkan keputusan Najib yang mengejut itu adalah tidak wajar kerana bertindak dengan penuh syak wasangka walhal belum ada kepastian. Ataupun dalam bahasa Inggeris — not giving Najib the benefit of the doubt.

Zaid juga seorang yang mahu “give credit where credit is due”, bermaksud jika sesuatu tindakan itu betul, takkanlah kita menidaknya hanya kerana takut dicop sebagai juak Umno?

(Bagi saya, pihak pembangkang pada tempoh hari menampakkan betapa kecilnya jiwa mereka. Pakatan jelas menggelabah sebab usul pemansuhan ISA pasti akan mematah momentum ‘Vote ABU’/ Anything But Umno yang giat dipupuk di kalangan pemilih bandar.)

Jeneral keseorangan

Zaid kena tempias lagi justeru mengumumkan KITA akan mengadakan ‘Democracy roadshowselama sebulan (Sept 27-Okt 26) ke seluruh pelusok negara — difahamkan roadshow tersebut untuk menerangkan dasar-dasar transformasi yang diperkenalkan Najib.

Mungkin Zaid menyokong Najib kerana perdana menteri kelihatan agak keseorangan. Timbalannya Muhyiddin Yassin serta Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein kedua-duanya pun seolah-olah caught off guard, iaitu sendiri terperanjat dengan pengumuman tiba-tiba itu.

Peristiwa ini mengingatkan saya kepada seperkara yang pernah disebut Khairy Jamaluddin sewaktu beliau berceramah di satu jamuan (dinner talk) anjuran kelab sukarelawan Haris ‘SABM’ Ibrahim pada bulan Disember lepas. [SABM itu Saya Anak Bangsa Malaysia]

Khairy telah memberitahu hadirin bahawa Najib kurang mendapat sokongan daripada orang kuat Umno serta jemaah menterinya sendiri untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif ‘transformasi’ yang cuba dikemukakannya. Peranan Najib sebagai ‘great reformer’ ibarat seorang jeneral yang tidak diiringi laksamana, panglima mahupun askar.

Berkenaan ISA, bukankah Pakatan seharusnya bersorak-sorai kerana pelupusan undang-undang itu yang sekian lama dituntut mereka akhirnya dipersetujui Najib jua. Akan tetapi Pakatan tidak menghargai benda besar ini sebaliknya melatah dan meragam.

Janji nak mansuh ISA pun Najib disergah pembangkang. Beliau tidak mengaut apa-apa keuntungan (bukannya dia boleh melebihkan undi sebab para penyokong Pakatan tidak akan beralih) manakala puak Malay ultra seperti Perkasa pula menggertak (rugi undi Umno).

Mungkin kerana kesemua faktor-faktor di atas, maka perlunya Zaid memberikan sokongan setakat mana yang boleh kepada usaha menjayakan penghapusan ISA. Kalau bukan Zaid siapa lagi?

‘Track record’ menentang ISA

Pada hakikatnya, Zaid memang ada locus standi (mempunyai hak serta kena pada tempatnya) untuk menyumbangkan input beliau sebab dialah yang mempelopori kajian terperinci reformasi perundangan.

Zaid yang memantau undang-undang penahanan pencegahan selaku Menteri Undang-Undang (lebih tepat, Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri dengan memegang portfolio undang-undang) dalam kabinet Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau yang membentangkan kertas kerja mengkaji perubahan yang perlu untuk menaiktaraf sistem keadilan dan penjagaan hak asasi. Kertas ilmiah tentang ISA serta Ordinan Kecemasan (EO) ditulisnya, pelbagai forum antarabangsa dihadirinya serta ucapan-ucapan diberikannya tentang isu ini, di dalam dan di luar negara.

Zaid telah juga telah membincangkan topik ini in print — yakni di dalam bukunya Dari Hati Yang Ikhlas (2007, gambar atas). Nyata untuk sekian lama Zaid amat konsisten dalam menyeru supaya ISA dan EO dilupuskan.

Inilah track record Zaid.

Malahan nama Zaid tertera dalam sejarah negara kerana sanggup meletak jawatan sebagai Menteri pada bulan September 2008 demi memprotes salah guna ISA untuk menahan blogger Raja Petra Kamarudin, exco Selangor Teresa Kok dan seorang wartawan Sin Chew bernama Tan Hoon Cheng.

Memandangkan Zaid amat mendalami isu pemansuhan ISA ini, maka pembabitannya (yang dikhabarkan kalau berita itu tepat) tidak langsung menghairankan kita.

Ahli-Ahli Parlimen yang bukan BN juga sepatutnya melibatkan diri memberi tekanan kepada Najib supaya kata-katanya dikotakan dan draf undang-undang baru yang bakal mengganti ISA bukan berupa kembar.

Bukan kawan, mesti lawan

Dari segi peribadi, Zaid Ibrahim seorang Melayu yang liberal dan progresif. Diletakkannya cogankata ‘Moderate, Democratic, Liberal’ sebagai hala tuju parti yang diasaskannya dan yang mana beliau dilantik menjadi presiden.

Dalam ucaptamanya ketika pelancaran parti pada bulan Januari tahun ini, Zaid telah berkata:

“Parti KITA tidak percaya dengan pendirian-pendirian yang ekstrim; tidak menentang semata-mata kerana hendak membangkang, atau kerana ia kerja politik yang mudah atau kerana hendak mendapatkan ‘mileage’ politik”.

Beliau juga memberi jaminan bahawa “KITA tidak sebut suatu perkara di depan Melayu dan sebut yang lain pula di depan bangsa lain”.

Soalan adakah Zaid lebih cenderong kepada Najib yang merupakan pengerusi BN ataupun kepada Anwar Ibrahim yang merupakan ‘ketua umum’ de facto Pakatan?

Dalam pada itu, biar juga kita tepuk dada tanya selera. Sekiranya diadakan pilihanraya ala presiden sepertimana di Amerika Syarikat, siapakan yang anda jangka akan menang – Najib atau Anwar?

Sudah beberapa kali Zaid menegur pihak pembangkang kerana pendekatan mereka berkisar kepada mantera “kalau kamu bukan kawan kami, kamu adalah musuh ketat kami”.

Beliau begitu kecewa dengan sikap sesetengah kerat masyarakat yang taksub kepada persis bahawa semua yang dibuat Najib mestinya menyimpang sementara Anwar disembah sebagai maksum.

Pada Sept 12, imbas muka Zaid seolah-olah mendahului pengumuman Najib pada Hari Malaysia Sept 16:

“But we [KITA] are equally resolute about the need to change Malaysia’s warlike political culture. That process of change must be rooted in civil dialogue between the administration and the Opposition – that’s how good policies can be implemented and good laws can be enacted. As the country faces more challenges, it’s incumbent on all politicians to at least try to reconcile on some fundamental issues.”

Zaid menitik-beratkan dasar/polisi serta sikap ‘reconciliation’ dengan berkata, “Parti KITA lahir bagi membolehkan rakyat Malaysia hidup bersama dan dapat saling menerima.”

Beliau cukup faham bahawa ada yang akan mengganggap jalan tengah yang diambil oleh KITA serta kesanggupan partinya bekerjasama dengan semua pihak mungkin ditafsirkan sebagai “selling out” (menjual maruah) meskipun Zaid menegaskan KITA masih kekal sebuah parti pembangkang dan akan memainkan peranan check and balance.

Nasihat yang sering diulangi Zaid ialah partinya tidak akan menyerang kerajaan semata-mata untuk memperolehi imbuhan politik. Sayangnya sikap asyik menentang, menentang, menentang sahaja sudah menjadi darah daging pihak pembangkang.

Apakah KITA?

KITA ada perlembagaan dan manifesto. Kedua-dua dokumen tersebut boleh dirujuk sebagai garis panduan kepada falsafah politik parti itu.

Misalnya dalam persoalan meritokrasi, penghayatan Zaid lebih kurang selaras dengan CEO-CEO Melayu seperti Khalid Ibrahim dan Nazir Razak. Sebaliknya adakah komponen Pakatan, misalnya DAP, mempraktikkan meritokrasi?

DAP telah memanggil suatu sidang akhbar untuk menghebohkan pelantikan Zairal Khir Johari sebagai setiausaha politik Lim Guan Eng. Ditekankan DAP fakta bahawa Zairil nama Melayu dan bukan bakat ataupun kebolehan orang muda itu. Waktu itu Zairil baru empat bulan menyertai parti.

Adakah DAP meritokratik apabila Pulau Pinang menganugerahkan seratus peratus kontrak kepada kaum bumiputera?

Adakah PKR demokratik apabila ketuanya Anwar Ibrahim tidak dipilih secara undi perwakilan, isterinya presiden parti dengan menang bertanpa bertanding, anak perempuan pasangan itu naib presiden, orang kanan Anwar timbalan presiden dan ada ura-ura seorang lagi anak perempuan Anwar dan Azizah akan diletakkan sebagai calon pilihanraya?

Adakah PKR demokratik apabila masih belum disiasat beratus-ratus aduan bahawa pilihanraya parti tidak dijalankan dengan telus? Adakah PKR demokratik apabila didakwa parti itu mempunyai 400,000 orang ahli tetapi yang mengundi Azmin menjadi timbalan presiden hanya 19,543 orang.

Soalan cepu emas

Mana letaknya KITA sekarang menjadi teka-teki apalagi dengan pergolakan dalaman parti.

Namun soalan yang harus ditanya bukan ‘Adakah Zaid Ibrahim menandakan minat untuk mengetuk pintu Umno?’

Soalan yang patut ditanya ialah ‘Dari segi isu — di mana ideologi KITA berlandaskan moderasi, demokrasi dan liberalisme — adakah parti itu lebih serasi dengan BN atau Pakatan? Lihat pada isu satu persatu.

Zaid seorang yang berpandangan jauh dan idea-ideanya berpegang kepada prinsip (bukan mengikut rentak atau situasi semasa). Yang betul, betul dan yang salah, tetap salah — itulah dipanggil etika.

Jangan sekadar membuat perhitungan menang kerusi, tawan Putrajaya. Politikus jenis ini tidak menilai kepentingan awam tetapi hanya mengira undi.

Pernah saya sebutkan sebelum ini bahawa tidak ada mana-mana ahli politik (pembangkang biarpun kerajaan) yang ambil pusing kes penculikan Tan Yi Min. Hanya Zaid seorang sahaja yang prihatin terhadap nasib anak gadis malang itu dan bercakap lurus tentang peruntukan kebebasan agama Fasal 11 Perlembagaan Persekutuan.

Yi Min, berumur 7 tahun yang dimasukkan Islam tanpa restu ayahnya, adalah mangsa penindasan tetapi tiada seorang pemimpin politik, peguam ataupun paderi yang mahu menyentuh soal kepincangan yang dihadapinya.

BBC, media nasional UK, telah melaporkan kes Yi Min bulan ini (Sept 5) di bawah tajuk ‘Malaysia’s parallel judicial systems come up against legal challenges‘. Media kita buat tak tahu, tak melapor. Politikus-politikus kita buat buta, pekak dan bisu.

Perkembangan terkini KITA membayangkan pemberontakan beberapa orang pemimpin terhadap ketua. Pokok pangkalnya siapakah mencorakkan semangat KITA — Zaid ataupun pencabar-pencabarnya? Siapa yang derhaka kepada prinsip?

_________________________________________________________________

Pandangan lain:

Aspan Alias: KITAKetuanya ke hulu ahli-ahlinya ke hilir

Author:

I have no Faceook or Twitter.

One thought on “Adakah KITA sedang mendekati Umno?

  1. There’s an English proverb: Don’t count your chicken before they’re hatched. Make no mistake, credit will be given when credit is due – AFTER Najib walk the talk.

Comments are closed.