Posted in Evangelista Bintang Tiga

Dr Mahathir: MCA diejek sebagai “running dogs” Umno (Okt 1987)

Perangai DAP tak pernah ubah. Sejarah berulang.

KENYATAAN YAB PERDANA MENTERI KEPADA PARLIMEN BERSABIT OPS LALANG

3.44 ptg

(28 Okt 1987)

Perdana Menteri (Dato’ Seri Dr Mahathir bin Mohamad) ketika di Dewan Rakyat:

Tuan Yang diPertua, saya bangun untuk melaporkan kepada Dewan yang mulia ini mengenai beberapa tindakan yang telah diambil oleh pihak polis dalam sehari dua ini.

Tuan Yang di-Pertua, sepertimana yang kita semua maklum, negara kita mempunyai penduduk berbilang kaum yang juga menganuti agama-agama yang berlainan. Justeru itu bukan sahaja perpaduan sukar dicapai, tetapi keretakan, pecah-belah dan ketegangan mudah berlaku di antara kaum kerana sensitiviti isu kaum, isu agama dan isu kebudayaan.

Semenjak tahun 1981 Kerajaan telah cuba mengelak daripada mengawal terlalu ketat kegiatan dan gerak-geri rakyat yang mungkin boleh menyebabkan berlakunya ketegangan antara kaum dan antara agama. Pihak Kerajaan telah membebaskan kebanyakan daripada mereka yang berada dalam tahanan sebelum tahun 1981. Kerajaan telah meluluskan lebih banyak permohonan mencetak akhbar dan majalah. Kerajaan telah membenarkan laporan dan rencana, yang dahulu ditakrif sebagai hasutan, disiarkan dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah. Kegiatan kebudayaan yang dahulu ditegah atau dihadkan telah diberi kelonggaran.

Perhimpunan, seminar, dialog dan juga rally yang dahulu dianggap sebagai menghasut, tidak diambil tindakan oleh Kerajaan. Badan-badan politik, sosial dan professional bebas membuat bermacam-macam tohmahan dan tuduhan melulu yang bercorak perkauman kepada Kerajaan.

Kerajaan percaya bahawa rakyat Malaysia, terutama pemimpin-pemimpinnya, sudah dewasa dan tahu membendung diri sendiri tanpa kawalan oleh Kerajaan. Kerajaan percaya mereka ini sedar bahawa ketenteraman dan kestabilan negara kita perlu dipelihara dengan rapi. Kerajaan percaya bahawa mereka sedar bahawa pembangunan Malaysia dan kesejahteraan rakyatnya bergantung kepada ketenteraman dan kestabilan. Kerajaan juga berpendapat bahawa rakyat tidak akan dipengaruhi oleh kegiatan dan tohmahan orang-orang yang tidak bertanggungjawab ini.

Tuan Yang di-Pertua, kita semua masih ingat peristiwa 13 Mei, 1969. Tentulah tidak ada di antara kita yang suka mencetuskan rusuhan berdarah seperti itu sekali lagi. Oleh itu, sikap tidak bertanggungjawab dan kegiatan menjolok isu-isu yang sensitif sepatutnya tidak berlaku.

Walau bagaimanapun, pihak Polis yang sepanjang masa memerhati dan meneliti perkembangan politik dan lain-lain gerak-geri rakyat, mendapati bahawa ada pihak-pihak tertentu yang tidak menghargai sikap Kerajaan. Mereka sebaliknya menggunakan peluang daripada pendirian Kerajaan ini untuk memperalatkan isu-isu sensitif untuk kepentingan mereka dan dalang-dalang mereka. Mereka tidak mempedulikan kesan buruk akibat daripada sikap tidak bertanggungjawab ini.

Tuan Yang di-Pertua, pihak Polis mendapati bahawa beberapa tokoh pemimpin parti Pembangkang dan kumpulan-kumpulan yang sebulu dengan mereka telah dengan sengaja membesar-besarkan isu yang ada kaitan dengan kaum. Pihak DAP khususnya, terlalu memainkan isu-isu perkauman Cina dan lndia secara terbuka. Mereka memberi gambaran bahawa Kerajaan menindas kaum-kaum ini. Mereka mengadakan rapat-rapat umum, mesyuarat awam, rally, demonstrasi dan lain-lain kegiatan untuk membakar hati orang-orang Cina dan India terhadap Kerajaan dan terhadap orang-orang Melayu.

Tuan Yang di-Pertua, pihak Polis mendapati bahawa pemimpin-pemimpin parti DAP amat gemar menggunakan isu-isu yang berbau perkauman untuk mendapat sokongan bagi parti mereka. Mereka bukan sahaja herlagak sebagai juara kaum Cina dan India, tetapi juga sengaja mencabar parti-parti kaum Cina dan India dalam Kerajaan kerana kononnya tidak memperjuangkan kepentingan kaum-kaum mereka. Dengan ini maka parti kaum Cina dan India dalam Kerajaan pun melenting dan cuba pula untuk melebihi parti DAP dalam ketebalan perkauman mereka.

Usaha menjadi jaguh ini meningkat apabila DAP dapat mengalahkan beberapa calon dari parti Cina dalam Barisan Nasional dalam Pilihanraya 1986.

DAP sengaja mengejek parti Cina dalam Barisan Nasional sebagai “running dogs” parti Umno. Dengan ini maka semakin bertambahlah usaha parti Cina dan India dalam Barisan Nasional untuk membuktikan bahawa mereka juga kuat dari segi perkauman bahkan lebih kuat lagi daripada DAP dan pemimpin-pemimpinnya. Berbagai isu dijadikan asas ujian tentang siapa lebih kuat perkaumannya.

Beberapa daripada isu-isu ini amat sensitif termasuk soal tarian singa, soal koperasi, soal papan tanda dan iklan, soal bahasa Cina, soal Bukit Cina, soal pakaian, soal ikrar murid di sekolah, soal matapelajaran elektif di Universiti Malaya, KBSR, soal pribumi Bumiputera dan akhir-ahkir ini soal guru sekolah Cina.

Satu perbuatan yang amat bahaya ialah penggunaan kuil untuk mesyuarat perkauman.

Dalam usaha-usaha yang dibuat sewaktu membincangkan isu-isu ini, banyak kata-kata kesat yang boleh ditakrif sebagai hasutan; disuarakan dengan lantang. Reaksi daripada orang Melayu juga meningkat kerana sebab-sebab yang tersebut sehingga ke peringkat yang melampaui batas. Semua ini dilaporkan oleh akhbar-akhbar dan majalah-majalah dan media massa ini juga semakin berani melapor dan membuat rencana-rencana yang membakar hati kaum-kaum yang terlibat.

Beberapa akhbar dan majalah sengaja menokok-tambah hasutan-hasutan ini untuk memperluaskannya kepada seluruh rakyat.

Di masa yang sama pihak yang pro-komunis tidak berdiam diri. Mereka memang menangguk di air yang keruh ini. Mereka menghasut melalui badan-badan sah dan tidak sah. Ada bukti yang menunjuk bahawa mereka mendapat ilham dan sokongan moral dan material dari pihak-pihak luar negeri yang tidak ingin melihat negara kita tenteram dan maju.

Tuan Yang di-Pertua, selain daripada perkauman, perkara yang merenggangkan jarak perhubungan antara kaum adalab agama yang berlainan. Sepatutnya soal berlainan agama boleb diatasi. Malangnya kerana kepentingan politik dan fanatik agama jarak perpisahan antara penganut agama-agama yang berbeza telah menjadi lebih jauh disebabkan oleh kegiatan pihak-pihak tertentu.

Beberapa pemimpin PAS telah cuba bukan sahaja memecah-belahkan orang Islam sesama orang Islam, tetapi juga menghasut orang Islam supaya benci dan marah kepada orang Kristian dengan dakwaan-dakwaan yang tidak berasas.

Soal orang Islam diKristiankan telah sengaja dibesar-besarkan oleh beberapa orang untuk mengambil kesempatan daripada suasana syak wasangka di kalangan orang-orang Islam terhadap kegiatan orang-orang Kristian. Sudah ada tanda-tanda bahawa hasutan daripada orang-orang tertentu ini telah menolong meningkatkan lagi ketegangan antara penduduk di Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua, semenjak zaman British memerintah lagi, segala kegiatan pendakwah Kristian mengembangkan agama Kristian dikalangan orang-orang Islam adalah dilarang. Pihak British menghormati perjanjian dengan Raja-raja Melayu berkenaan dengan sekatan terhadap pendakwah Kristian ini

Dalam Perlembagaan Malaysia yang merdeka, terhadap peruntukan undang-undang yang menegah perkembangan agama-agama lain di kalangan orang-orang Islam. Kita percaya bahawa gereja-gereja Kristian dan pendakwah mereka sedar akan larangan ini dan tidak akan membuat sesuatu yang mereka tahu akan menyebabkan ketenteraman negara tergugat.

Umumnya pihak gereja-gereja Kristian berhati-bati dalam perkara ini dan tidak cuba berdakwah di kalangan orang Islam. Malangnya, ada sebuah gereja yang telah cuba berbuat demikian. Mereka tidak begitu berjaya. Hanya beberapa orang sahaja yang dilahir sebagai orang Islam yang terpengaruh dengan mereka. Beberapa orang daripada mereka ini mempunyai masalah peribadi atau mencari kesempatan. Siasatan menunjukkan bahawa jumlah mereka tidakpun sampai 50 orang dan mereka ini pun belum menerima sepenuhnya agama Kristian.

Namun demikian kegiatan gereja ini diketahui oleh beberapa orang Islam yang kemudian menghebohkan cerita kononnya beribu-ribu orang Islam telah diKristiankan. Akibat daripada cerita-cerita yang sengaja dibesar-besarkan ini, iklim perhubungan kaum menjadi lebih tegang.

Tuan Yang di-Pertua, akibat daripada semua pergolakan ini keadaan di negara kita telab menjadi amat tegang sekarang. Pihak Polis yang bertanggungjawab terhadap ketenteraman dan kestabilan negara berpendapat bahawa kita sudah sampai kepada tahap yang merbahaya bagi negara. Polis berpendapat, dan saya bersetuju dengan pendapat mereka, bahawa Kerajaan tidak boleh menunggu sehingga rusuhan tercetus sebelum bertindak. Langkah-langkah mencegah kejadian rusuhan perlu diambil sekarang juga untuk menyelamatkan negara daripada bahaya dan bencana yang mungkin dihadapinya.

Tuan Yang di-Pertua, kita telah merdeka lebih daripada 30 tahun. Di waktu kita mula bekerjasama di antara kaum untuk mencapai kemerdekaan, kita telah bersetuju dengan beberapa perkara yang menjadi asas kemerdekaan dan Perlembagaan negara kita.

Kita semua telah mengiktiraf keistimewaan kedudukan bumiputera dan hak kerakyatan bagi bukan Melayu. termasuk kaum Cina dan India, yang layak dan memilih untuk menjadi warganegara Malaysia.

Kita telah mengakui bahawa agama Islam adalah agama rasmi Malaysia
tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas. Kita telah bersetuju bahawa Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu tetapi kaum-kaum yang lain berhak menggunakan bahasa-bahasa mereka.

Persetujuan ini mestilah dihormati oleh semua pihak. Perkara-perkara ini tidak boleh disoal oleh sesiapa. Jika ada mana-mana pihak menyoal hak sesuatu kaum, maka kaum itu akan menyoal balik hak kaum yang mencabarnya. Maka akan meningkatlah soal-menyoal, caci-mencaci dan cabar-mencabar. Dengan itu, keadaan menjadi keruh dan tegang dan kestabilan negara akan tergugat.

Tuan Yang di-Pertua, negara tidak mampu mengalami rusuhan kaum. Negara kita mengalami kemelesetan ekonomi dan ramai daripada tenaga kerja kita menganggur. Jika kemelesetan ekonomi ditokok dengan keadaan politik yang tidak stabil dan rusuhan kaum pula berlaku, negara ini akan menjadi huru-hara. Rakyat akan hidup dalam ketakutan dan terus menderita. Pembangunan dan kemajuan negara dan rakyat akan terjejas. Peristiwa-peristiwa yang kita lihat di Asia Barat, Asia Selatan dan Ireland Utara akan menimpa kita.

Kerajaan bertanggungjawab terhadap keamanan dan kestabilan negara dan oleh itu bersetuju di atas tindakan yang diambil oleh pihak Polis.

Memandangkan bahawa keadaan dalam negeri adalah tegang dan untuk menjayakan tindakan Polis, saya sebagai Menteri Dalam Negeri telah mengambil keputusan untuk melarang sebarang perhimpunan atau rally di seluruh Malaysia. Larangan ini juga bermakna perhimpunan raksaksa Umno pada lhb November ini dibatalkan. (Tepuk)

Semua perhimpunan awam atau rally, sama ada di dalam bangunan-bangunan atau di luar, adalah dibatalkan, termasuk yang telah mendapat kebenaran terlebih awal dahulu.

Tuan Yang di-Pertua, akhir kata, saya menyeru kepada rakyat sekalian serta semua pihak untuk memberi kerjasama penuh kepada Kerajaan dalam usaha-usahanya untuk menjamin perpaduan dan persefahaman. Kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang cuba menimbulkan huru-hara atau menghalang Kerajaan dalam menjalankan kewajipannya untuk menjaminkan kestabilan dan ketenteraman negara demi kesejahteraan semua rakyat. Terima kasih. (Tepuk)

Author:

I have no Faceook or Twitter.

19 thoughts on “Dr Mahathir: MCA diejek sebagai “running dogs” Umno (Okt 1987)

  1. I wasn’t in the country when the Ops Lalang happened.

    But I still remember feeling rather worried about the situation in Msia back then.

    Thanks Helen for posting Dr M speech. I don’t remember ever reading the speech before. It shed some light to me of what had happened.

    Do you also have access Musa’s speech in the Parliament regarding the Memali incident which happened a year earlier than the Ops Lalang? I never got the full picture about the incident.

  2. Betul Helen.

    Saya masih ingat ketegangan kaum pada 1987. Masa itu ramai operator kilang di Sg.Way tidak datang kerja kerana takut terjadi seperti 13Mei, 1969. Kilang tak boleh beroperasi dan kami dibenarkan balik cuti bergaji.

    Anwar Menteri Pelajaran ketika itu. Beliau mahu menempatkan guru-guru Melayu di SRJK dan mendapat tentangan dari DAP dan MCA.

    Dulu belum ada internet. Nasib baik Prebet Adam mengamuk di Chow Kit. Semua kutuk-mengutuk dan hasutan dalam akhbar berhenti serta-merta dan beralih tumpuan pada Prebet Adam.

    Sama juga incident Memali, Nov.1985. Ketika itu juga, suasana tegang atas sebab yang sama. Tapi Dr.M berada di China. Musa Hitam sebagai KDN. Apabila terjadi Memali, akhbar beralih laporan. Radio & TV memainkan lagu-lagu patriotik dan di ulang-ulang, ‘Jangan dengar khabar-angin’.

    Nampak gayanya suasa seperti 1987 sudah lama muncul. PM Najib mesti bertindak segera.

      1. I’m waiting for DrM to respond to Musa’s claim that DrM was in the country when Memali happened. I wasn’t in the country too.

        Why it took 40 yrs for Musa to speak up about that? Why only now?

  3. We need TDM or someone like him to helm again this country. In fact we need a dictator. Only a Dictatorship can make anarchists understand that the country needs stability to make the economy move forward…..

    1. If I may add, we do not need crybaby leaders like Wee Ka Siong (MCA deputy president).

  4. Kebebasan yang melampau adalah sangat berbahaya kapada Malaysia.

    Many cries for freedom of everything, but if that freedom would leads to total disaster, what goods of that freedom then. Malaysia is strongly divided by race and vernacular education are never in any help but it’s accelerate the situation further.

    No way we could see 1 Malaysia if we were separated from early age, and that will goes to the rest of our life.

  5. *tears* … I desperately want something like this untuk kebaikan bersama semua kaum dan agama. I love Malaysia Helen….

  6. You see.. Bila Cina DAP mempersoalkan Hak Keistimewaan Bumiputra, maka Hak Kewarganegaraan kaum Cina juga akan dipersoalkan oleh Bumiputra. Jadilah caci mencaci soal menyoal dan hina menghina. Dan Najib masih buat bodo

  7. Helen,

    ‘Ops Lalang’ hanya berjaya menebas tetapi tidak sehingga mencabut akar-umbinya maka sebab itu DAP masih wujud, aspirasi dan matlamatnya yang pro-komunis masih wujud.

    Bezanya, DAP terkini lebih canggih SOPnya, lebih keagamaan ritualnya (evangelistas). Ibararat lalang yang tumbuh kembali ia telah menjadi ‘mutant’ seolah-olah sudah terendam dalam lelehan toksik Lynas!

    Ucapan Tun M di Parlimen pada tahun berkenaan memang satu pernyataan kebenaran yang kekal relevan dalam masyarakat kita pada waktu itu, masih relevan pada hari ini dan akan terus relevan pada masa depan.

    Memang negara ini amat perlu kepada seorang PM yang tegas dan bertindak tepat dan cepat.

    Malangnya apalah yang boleh kita harapkan daripada seorang insan bernama Najib?

  8. ‘Mereka mengadakan rapat-rapat umum, mesyuarat awam, rally, demonstrasi dan lain-lain kegiatan untuk membakar hati orang-orang Cina dan India terhadap Kerajaan dan terhadap orang-orang Melayu.’

    Nothing has changed is it?!

  9. Kita ada Tuhan. Dia yang Maha Berkuasa akan tentukan siapa yang akan berkuasa. Adakah kita sudah berdoa?

    Dia Maha Adil. MusuhNya juga diberi peluang kalau hamba-hambaNya terus lalai. Sudahkah kita bertaubat?

Comments are closed.